carian..

DARI ARKIB UTUSAN MALAYSIA 16.03.2010

Keajaiban perubatan homeopati


Semasa merawat pesakit, Dr. azman mohamad tahir akan bercakap dengan mereka dan menilai pesakit itu dari segi bentuk tubuh, kelakuan dan emosinya. - utusan/Roy Azis Abd. Aziz


IPOH 15 Mac - Homeopati berasal daripada dua perkataan iaitu 'homoios' yang bermaksud serupa dan 'pathos' (penderitaan) yang merujuk kepada tanda-tanda atau simptom.

Perubatan homeopati lebih menekankan kepada membantu menguatkan keupayaan tubuh melawan penyakit yang menyerang bukannya menyediakan bahan untuk membunuh kuman penyakit tersebut.

Kaedah itu telah lama digunakan di dalam dunia perubatan Barat dan kini semakin berkembang dan mendapat tempat di Malaysia.

Menyedari masyarakat mula menerima teknik rawatan ini sebagai perubatan alternatif, Dr. Azman Mohamad Tahir, 40, memberanikan diri menceburi secara serius dalam bidang itu.

Menurut anak jati Bagan Datoh, Perak, dia mula mempraktikkan perubatan homeopati selepas melihat kesan kaedah tersebut ke atas keluarga dan dirinya sendiri.

Malah, katanya, tanpa ragu-ragu dia telah melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan terbabit di sebuah institut penyelidikan dan pendidikan homeopati di India.

Selepas mendapat diploma pada 1995, Dr. Azman mula mempraktikkan perubatan homeopati di samping perubatan sampingan lain seperti bekam, urutan tradisional, tenaga dalaman, refleksologi dan akupuntur elektronik.

"Mulanya saya hanya menjalankan rawatan kepada ahli keluarga di rumah. Tetapi apabila masyarakat kampung sering datang untuk mendapatkan bantuan, saya mengambil keputusan untuk membuka sebuah pusat rawatan alternatif.

"Niat saya adalah untuk membantu golongan miskin yang tidak mampu mendapatkan rawatan moden, lebih-lebih lagi bagi penyakit yang tidak dapat dirawat dengan perubatan moden," kata bapa kepada empat anak ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Dr. Azman, dia mula serius dalam bidang perubatan tersebut apabila membuka sebuah klinik dan farmasi homeopati yang dinamakan Az Budi Pusat Homeopati dan Naturopati pada tahun 2000.

"Homeopati sebenarnya lebih kepada rawatan holistik iaitu memberi tumpuan lebih kepada pesakit berbanding penyakitnya.

"Semasa merawat pesakit, saya akan bercakap dengan mereka dan akan menilai pesakit itu dari segi bentuk tubuh, kelakuan dan emosinya sebelum memilih penawar mengikut keseluruhan simptom-simptom yang wujud.

"Tetapi tidak semestinya semua simptom yang disenaraikan bagi satu-satu penawar adalah pilihan tepat, tetapi persamaan gejala sudah memadai untuk membantu doktor membuat pilihan penawar," katanya.

Menceritakan ciri-ciri istimewa penawar homeopati ujar Dr. Azman, merawat pesakit menerusi proses perangsang tenaga hayat yang wujud semula jadi di dalam diri manusia menjadikan tubuh lebih kuat, aktif dan mempunyai keupayaan melawan penyakit di samping mengatur sistem pengedaran darah, sistem hormon serta saraf.

Malah, ubat homeopati katanya, tidak mengandungi bahan toksik dan dadah dalam bentuk kasar yang menjadikan ia selamat diambil oleh semua golongan.

Selain membantu merawat pesakit, Dr. Azman turut mengeluarkan ubat homeopati dengan jenama Dr. Azman.

"Ramuan ubat-ubat ini saya buat sendiri menggunakan bahan mentah yang diimport dari Jerman, India, Pakistan dan Australia.

"Antara ubat yang mendapat permintaan tinggi ialah untuk penyakit batu dalam hempedu, batu karang dan ketumbuhan," katanya.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan rawatan atau ubat homeopati boleh mengunjungi Az Budi Pusat Homeopati dan Naturopati yang terletak di No.29, Lengkok Perpaduan, Taman Perpaduan, Ulu Kinta atau menghubungi talian 05-5333628./ 013-5297053

Ubat homeopati tiada kesan sampingan
Berita Harian, Sabtu - 20 Februari 1999


Kuala Lumpur (Malaysia) - Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan telah membuat keputusan mengecualikan ubat homeopati daripada didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan. Keputusan ini dibuat kerana bahan aktif tunggal yang terdapat dalam ubat homeopati adalah bahan yang sudah diproses mengikut kaedah homeopati dan tidak mengandungi bahan molekul ubat, jadi ianya tidak mengandungi bahan kimia dan kesan sampingan.