carian..

PERUBATAN HOMEOPATI. PART 2 PRINSIP


PRINSIP ASAS HOMEOPATI

Dalam memahami falsafah perubatan homeopati, terdapat sekurang-kurangnya empat undang-undang atau hukum yang perlu diketahui dan diamalkan. Antaranya ialah undang-undang “Seraksi”, undang-undang “Single Remedy”, undang-undang Dos Minimum, undang-undang “Dynamisation” dan undang-undang Kesembuhan. Dalam rangka untuk mengenal dan mengamal homeopati secara jitu dan berkesan, berikut akan menerangkan prinsip-prinsip asas perubatan homeopati dengan lebih jelas.

1. Undang-Undang Seraksi

Apabila Dr. Samuel Hahnemann menyarankan prinsip asas ini dalam esei beliau iaitu “A New Principle for Discovering the Curative Virtues of Medicinal Substances”, beliau menulis:
“Penyembuhan radikal sesetengah penyakit kronik memerlukan ciri-ciri sakit yang serupa, seserupa yang mungkin, dalam organisme manusia.....seseorang itu harus mengimitasi alam semulajadi, yang kadangkala menyembuhkan penyakit kronik dengan penerusan tambahan penyakit. Seseorang individu itu harus merawat penyakit yang berkaitan menerusi penawar yang mampu merangsang sejenis penyakit buatan (artificial disease) yang seserupa mungkin dan dengan ini penyakit terdahulu akan dapat disembuhkan”.

Dengan penyataan itu, tahun 1976 dianggap sebagai permulaan kelahiran homeopati, walaupun masyarakat umum mula menerimanya pada tahun 1810 disebabkan penerbitan buku “Organon of Medicine”. Di dalam buku Organon, Dr. Hahnemann telah memperincikan apa yang dinyatakan sebelumnya di mana beliau mencatat:
“Keseluruhan ujian dan kajian yang dijalankan secara halusi membuktikan kepada kita bahawa gejala penyakit yang berterusan tidak dapat disembuhkan oleh gejala-gejala ubatan yang berlawanan (menerusi cara konvensional, allopati), sebaliknya ia kembali muncul dengan kekusutan yang bertambah walaupun pada awalnya ia kelihatan seakan menghilangkan penyakit”. [Organon, 23]

Dan seterusnya beliau menambah lagi:
“Sebaliknya homeopati memilih penawar daripada remedi-remedi yang telah dibuktikan tindakannya ke atas orang yang sihat melalui ujikaji (proved), iaitu yang mempunyai kuasa dan kecenderungan untuk menghasilkan kesemua keadaan penyakit buatan (artificial disease) yang paling serupa dengan penyakit asal yang dirawat”. [Organon, 24]

Dengan ini, undang-undang Seraksi boleh juga ditakrifkan sebagai cara homeopati  iaitu ‘merawat dengan menggunakan bahan-bahan yang mampu menyebabkan gejala yang sama (hampir sama) apabila diberikan kepada orang yang sihat dengan gejala-gejala yang dipamerkan oleh pesakit”.

Contoh yang jelas daripada undang-undang ini boleh dilihat pada penawar-penawar homeopati yang telah diuji. Misalnya, penawar Ipecacuanha – satu penawar yang mampu menyebabkan gejala loya dan muntah apabila diberikan dos-dos tertentu kepada orang yang sihat. Berdasarkan kesan pemberian penawar Ipecacuanha ke atas orang yang sihat tadi, ia telah terbukti seperti dalam uji-bukti homeopati yang sahih, maka adalah wajar dan rasional Ipecacuanha diberi bagi merawat kes-kes penyakit yang mengalami masalah loya dan muntah (seperti peringkat awal kehamilan).
Dalam istilah perubatan homeopati, undang-undang Seraksi atau Similimum ini disebut oleh Dr. Hahnemann dalam bahasa Latin sebagai “SIMILIA SIMILIBUS CURENTUR” yang bermaksud, “Biar yang serupa disembuhkan dengan yang serupa” (Let likes be cured by Likes).

2. Undang-Undang Satu Penawar (Single Remedy)

Dalam usaha untuk mendapatkan kesembuhan yang berpanjangan dan memulihkan pesakit kepada keadaan normal, homeopati menganjurkan supaya pesakit hanya diberikan satu penawar sahaja iaitu penawar yang mempunyai persamaan yang paling hampir dengan gejala yang dimanifestasikan oleh pesakit.

Penawar yang lain daripada yang tersebut tidak akan dapat memberikan kesembuhan yang sebenar oleh kerana ia tidak mempunyai unsur-unsur keserupaan dengan gejala-gejala dan  tindakbalas individu (yang menjadi pengenalan) untuk mengawal ketidakseimbangan.
Inilah yang disebut sebagai prinsip pemberian satu penawar atau “the law of single remedy”. Pemberian satu penawar ini mempunyai kebaikannya yang tersendiri, selain daripada apa yang dimaklumkan mengenai unsur keserasian. Antaranya ialah dengan pemberian satu penawar, kita dengan mudahnya dapat mengenal dan menilai tindakan penawar. Hal ini pasti sukar dipastikan apabila pelbagai jenis penawar diberi, kerana kita tidak dapat mengesan tindakannya dan sejauh mana kesan satu-satu penawar yang diberikan.

Prinsip ini dikenali juga sebagai “Individualisation” dalam rawatan. Individualisasi dalam rawatan bermaksud “Homeopati mengambil pendekatan di mana setiap pesakit itu patut dirawat sebagai individual yang tersendiri dan unik”. Dalam perkataan lain, homeopati menekankan pendekatan holistic dalam rawatan pesakit. Natijahnya, seseorang individu itu tidak akan dianggap sebagai orang yang berpenyakit seperti yang umum memahami dan diamalkan oleh pakar perubatan moden.

Perkataan holistic sebenarnya diambil daripada bahasa Greek, ‘holos’ yang bererti ‘keseluruhan’ (whole). Dengan itu, pendekatan penjagaan kesihatan secara ‘holistic’ bermakna seseorang pengamal yang bertimdak sebagai perawat itu tidak harus menumpukan kepada bahagian-bahagian tertentu pada pesakit sahaja semasa memberi rawatan, tetapi hendaklah secara keseluruhan termasuklah dari segi fizikal, emosi dan mental.

Ia berdasarkan kepada konsep bahawa makhluk manusia merupakan makhluk yang kompleks di mana keadaan kesihatannya dipengaruhi oleh banyak faktor. Faktor-faktor yang dimaksudkan ini merangkumi dari segi keturunan, pemakanan, personaliti, persekitaran dan keadaan fizikal individu, di mana tanpa mengambil kira faktor-faktor ini sukarlah untuk menjurus ke arah dan mempertahankan kesihatan yang sejati.
Dalam Organon, para 5, Dr. Hahnemann menyatakan:
“...Dalam rangka untuk menyembuhkan, seorang (doktor) harus mengambil kira konstitusi fizikal yang nyata pada pesakit (terutamanya apabila sudah kronik), ciri-ciri intelek dan afektifnya, aktivitinya, gaya hidup dan tabiatnya, taraf sosialnya, hubungan kekeluargaannya, usianya, kehidupan seksual dan sebagainya”.

Oleh kerana tugas perawat yang mengambil pendekatan ‘holistic’ ialah untuk memberi kesembuhan dan kesihatan, bukannya sekadar merawat penyakit, maka:
Mereka seharusnya lebih prihatin terhadap keseluruhan individu, bukannya setakat tertumpu pada bahagian-bahagian yang tercedera dan sakit.
Mereka juga harus peka akan semua suasana serta keadaan yang merangkumi dan mempengaruhi kehidupan pesakit.

Menerusi cara ini, barulah mereka akan mengetahui dengan segera akan faktor-faktor yang boleh memberi kesan buruk kepada pesakit di samping dapat memberikan penawar-penawar tertentu dalam proses rawatan.

Rawatan konvensional selalunya mengabaikan perkara ini. Doktor atau pengamal cara konvensional selalunya mendasarkan rawatannya kepada keserasian antara ubatan dengan gejala penyakit. Inilah yang membezakannya dengan homeopati. Rawatan homeopati lebih rumit dan bersifat tiga dimensi. Yakni, homeopati akan berusaha menyesuaikan antara Gejala – Pesakit – Penawar (bukan sekadar Penyakit – Ubat).

Bertitiktolak daripada itulah, rawatan homeopati memerlukan penawar (‘ubat’ dalam istilah konvensional) yang berlainan bagi pesakit yang mengalami sakit yang sama. Tegasnya, pengenalan penawar bukan pada penyakitnya. Sebagai contoh, andaikan ada dua orang yang mengalami sakit demam tetapi salah seorang daripadanya kelihatan pucat manakala seorang lagi mukanya merah dan kepalanya berdenyut. Dalam hal ini, Aconite tidak diberikan untuk kedua-dua kes seperti memberikan panadol. Sebaliknya, mungkin ornag yang pertama diberikan penawar Arsenicum dan seorang lagi diberikan Belladonna.

Untuk memilih satu penawar yang benar-benar serasi bagi seseorang pesakit memerlukan penelitian dan penkajian yang mendalam mengenai latar belakang dan gejala-gejala pesakit di samping mempunyai pengetahuan yang luas mengenai “Materia Medica”. Ini bererti setiap pelajar homeopati harus berusaha bersungguh-sunggu serta beristiqamah dalam mempelajari Materia Medica homeopati supaya dengan cara itu dia akan benar-benar mahir terhadap gambaran-gambaran penawar atau remedi.

Walaupun tidak digalakkan, memang terdapat beberapa pengamal homeopati yang menyimpang daripada landasan Dr. Hahnemann dengan mengamal dan memberi lebih daripada satu penawar pada satu-satu masa. Kononnya dengan cara ini banyak kelebihan yang boleh diperolehi seperti menjimatkan masa dan tenaga, lebih mudah, dan kadangkala dengan campuran remedi ini mampu menampung kebanyakan gejala-gejal yang terdapat pada pesakit berkenaan. Ada juga pengamal yang memberi lebih daripada satu penawar pada satu masa tetapi mengarahkan pesakit mengambil penawar-penawar tersebut pada masa dan hari yang berlainan.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa ramai pengamal memperoleh hasil dan kesan yang baik dengan cara tersebut. Namun, tidak dapat dipastiakn samada ia mampun menandingi hasil daripada pemberian satu penawar dalam potensi yang betul seperti yang disarankan oleh Dr. Hahnemann. Lagipun pengamal harus berhati-hati terhadap penawar-penawar yang boleh memberi kesan ‘antidot’ antara satu sama lain.

Apa yang disebutkan di sini mungkin tidak menjadi masalah bagi sesetengah pengamal dan kilang yang terlibat dalam pembuatan penawar. Dengan perkembangan dan penggunaan peralatan moden yang serba canggih pada hari ini, sebarang masalah berhubung dengan pemberian penawar dalam bentuk kombinasi dapat diatasi. Bagaimanapun, cara Dr. Hahnemann masih dianggap cara yang terbaik dan unggul dalam merawat peskait. Oleh kerana itu, setiap pengamal dianjurkan supaya terus berpegang teguh kepada undang-undang “single remedy”.

3. Hukum Mikro Dos (Dos Minimum)

Prinsip homeopati yang ketiga ialah hukum mikro dos atau undang-undang penggunaan dos minimum (the infinitesimal dose). Tujuan penggunaan dos minimum atau dos terkecil ini telah dijelaskan oleh Dr. Hahnemann di dalam bukunya:
“Setinggi-tinggi hemah doktor itu ialah mengembalikan kesihatan....dengan cara yang paling tidak memudaratkan”. [Organon, 2]

Telah bertahun-tahun Dr. Hahnemann memperkatakan mengenai kesan penggunaan dan pemberian dos kasar mengikut cara allopati sepanjang hayat dan perjuangannya. Begitu kuat kepercayaan beliau bahawa lebih ramai pesakit yang mati akibat rawatan berbanding disebabkan penyakit yang dihidapi. Noktah bagi semua trajedi itu hanyalah apabila sistem rawatan homeopati ditemui.


Setelah beliau telah berjaya membuat ujibukti terhadap penawar-penawar homeopati, beliau berusaha membuat kajian tentang cara untuk memperkecilkan dos secara progresif di samping mengekalkan kesan terapeutiknya. Di sana beliau mendapati dengan pengunaan penawar-penawar homeopati dalam dos kecil bukan sahaja memberi kesan terapeutik, malah selamat bagi pesakit tanpa kesan sampingan yang buruk.


Dalam kajian seterusnya, semasa beliau membentuk prosedur bagi potentisation, beliau mendapati penawar-penawar yang dipotentaiskan bukan sahaja mampu mengekalkan kesan terapeutiknya,malah menambah dan merubahnya secara positif. Beliau menjelaskan bahawa kuasa penawar tersembunyi dalam penawar homeopati yang diperkuatkan kuasa (potentised) tidak bergantung kepada atom materialnya atau sifat fizikalnya, tetapi bergantung kepada tenaga visible yang dilepaskan dan dibebaskan melalui menerusi perkuatan kuasa yang progresif (progressive potentisation) atau dynamisation.

















Dalam hal ini, Dr. Hahnemann percaya bahawa prosedur yang diasaskannya mengenai “bancuhan bersiri” (sequential dilution) yang diikuti oleh hentakan (succusion) dalam menghasilkan potensi penawar sebagai sebab yang membangkitkan kuasa dalaman penawar pada satu-satu bahan, lantas menjadikannya aktif dan efektif. Di sinilah beliau bertambah yakin bahawa hentakan mampu melepaskan tenaga penyembuhan yang mana sememangnya dan sebenarnya sebati dengan bahan tersebut.

Menurut Dr. Hahnemann, perkuatan kuasa (potentisation) bermakna pembangunan kuasa penawar. Dalam melahirkan kuasa penawar, dinamisasi (dynamisation) yang menjadi sumber kuasa penyembuh satu-satu penawar dan bukan semata-mata proses bancuhan.

Apa yang terangkum dalam dinamisasi homeopati (homoeopathic dynamisation) hanyalah kedua-dua unsur di atas, iaitu bancuhan atau cairan dan hentakan. Itulah proses yang memainkan peranan menjadikan penawar-penawar homeopati kuat dan selamat.

Apabila seseorang pengamal itu menemui penawar yang berkaitan yang serasi dengan penyakit, ianya seolah-olah separuh daripada tugasnya telah selesai. Tetapi menjadi tugas pengamal yang mahir dalam menentukan dos yang bersesuaian di mana dos yang terkecillah yang biasa digunakan. Mempreskripsi pesakit dengan satu dos bahan asal remedi tertentu mungkin membahayakan. Jadi dengan memberi preskripsi mikro dos atau dos kecil walaupun dalam kuantiti yang besar menjadi amalan biasa dalam rawatan homeopati kerana ia lebih selamat digunakan.
Tindakan dos minimum atau mikro dos ini bersesuaian dengan “the Ardnt-Schultz Law” yang menyebutkan bahawa dos kecil merangsang, dos sederhana melumpuhkan dan dos besar membunuh. Oleh itu, penggunaan dos minimum atau penawar yang dipotentaiskan pada satu tahap yang tertentu adalah selamat dan berkesan. Tahap ini tentulah bergantung kepada jenis bahan yang digunakan sebagai penawar. Biasanya penawar yang telah diperkuatkan kuasanya hingga ke 12c atau 24x telahpun berada pada peringkat selamat kerana molekul asal ubat sudah tiada lagi.

Penawar dos minimum inilah yang diberikan oleh pengamal homeopati dalam rawatannya. Apabila satu dos minimum diambil dan bertindak ke atas pesakit, ia memperkuatkan mekanisme pertahanan dan memperbaiki ketidakseimbangan vital force dalam organisma sehingga menjurus ke arah kesembuhan. Kadangkala dalam pemberian penawar, mungkin akan berlaku sesuatu yang disebut sebagai aggravasi homeopati (homoeopathic aggravation). Apa yang dimaksudkan dengan aggravasi homeopati ialah keadaan gejala idapan yang melarat atau terasa bertambah sakit selepas diberikan penawar yang tepat dan serasi. Lantas:
Sekiranya semasa rawatan, terutamanya berkenaan dengan penyakit kronik, dos pertama menghasilkan homoeopathic aggravation....maka ianya adalah tanda yang jelas bahawa dosnya terlalu besar”. [Organon, 282]

Apabila keadaan ini berlaku, dos yang lebih kecil diperlukan untuk menggantikan dos yang lama. Dan menurut undang-undang Seraksi, apabila gejala-gejala yang serupa dengan penyakit yang dialami dirangsang oleh penawar homeopati, maka bolehlah disimpulkan bahawa sedikit kemelaratan gejala mungkin merupakan pembuka jalan ke arah kesembuhan. Ini bermakna adanya aggravasi homeopati merupakan satu petanda baik. Yakni jika diberhentikan pengambilan penawar, maka kesembuhan boleh berlaku.

4. Undang-Undang Arah Kesembuhan

Umumnya para pengamal homeopati mendefinasikan sihat secara keseluruhan sabgai satu keadaan di mana seseorang individu itu bebas (daripada sakit) dalam tiga peringkat yang saling berhubungan iaitu: fizikal, emosi dan mental. Sakit akan zahir apabila fisiologinya tidak berfungsi dengan betul, emosinya tidak tenang dan bebas meluahkan isi hati, serta mentalnya terganggu, tidak tenteram dan hilang kreativiti.

Dalam rawatan homeopati, kita dapati ada aturan tertentu ke arah kesembuhan yang berkait rapat dengan keadaan sihat yang terbahagi kepada tiga peringkat di atas. Undang-undang Arah Kesembuhan ini ditemui dan diketengahkan oleh seseorang yang amant dikenali dalam dunia homeopati iaitu Dr. Constantine Hering. Justeru itu ia juga disebut sebagai Hering’s Law of Cure. Meskipun begitu, sebenarnya perjalanan proses kesembuhan tersebut telahpun diamati oleh Dr. Samuel Hahnemann dan murid-muridnya kerana itu memang tabiat kesembuhan homeopati.
Berdasarkan undang-undang ini, pemulihan yang berlaku ke atas orang yang sakit kepada sihat seharusnya mengikut aturan yang dijangka. Dalam pergerakan progresif gejala-gejala ke arah kesembuhan, gejala-gejala utama akan beralih daripada bahagian-bahagian yang vital atau penting kepada bahagian-bahagian yang kurang penting. Contohnya daripada organ-organ dalaman yang penting kepada bahagian kulit luaran individu.

Sekiranya dalam proses rawatan – similimum yang jitu berlaku, gejala-gejala penyakit bergerak ke arah kesembuhan mengikut arah kesembuhan Hering. Perkara sebegini boleh diperhatikan dengan jelas berlaku dalam kes-kes kronik seperti yang terdapat dalam rawatan homeopati tetapi tidak dapat diperhatikan apabila rawatannya dibuat secara allopati atau sistem konvensional.
Hal ini juga dapat dilihat dalam kes demam rheumatik di mana apabila gejala-gejala sendi hilang, maka ia beralih ke bahagian jantung. Apabila gejala-gejala bahagian jantung bertambah baik, sakit-sakit akan dirasai di bahagian bahu dan siku, kemudiannya bahagian lutut dan pergelangan kaki dan seterusnya sehingga pesakit itu sembuh secara keseluruhan.

Sebagaimana dalam sistem rawatan tradisional dan holistik yang lain, proses kesembuhan akan melibatkan kemelaratan gejala (aggravation of symptom) pada peringkat awalnya iaitu semasa mekanisme pertahanan sedang melawan punca-punca yang menyebabkan sakit. Dalam rawatan homeopati yang berjaya, peringkat ini akan segera diikuti oleh ameliorasi (amelioration) semboyan-semboyan yang akhirnya membawa kepada kesembuhan. Kesembuhan akan sempurna apabila fungsi-fungsi kesemua organ pulih sepenuhnya dari segi mental, emosi dan fizikalnya.

Harus diingatkan bahawa aggravasi atau kemelaratan boleh juga berlaku sekiranya penawar yang dipilih tidak serasi. Ini pun merupakan suatu gejala yang biasa berlaku dalam sistem rawatan homeopati. Dalam kejadian seperti ini ‘antidotnya’ harus diberikan segera untuk meneutralkan kesan-kesan yang tidak dikehendaki yang merupakan natijah daripada kesilapan telahan dalam memberi penawar.

Menurut Dr. Hering, dalam pemerhatian terhadap perubahan semboyan-semboyan apabila pesakit itu bertindakbalas terhadap penawar-penawar atau remedi-remedi homeopati, ianya dapat dikelaskan kepada tiga kategori. (Perhatian: Ada pendapat yang mengelaskannya kepada empat kategori).

Daripada Dalaman ke Luaran
Maknanya, ketika proses kesembuhan berlaku secara semulajadi, ia bermula daripada bahagian paling dalam seseuatu organisme – yakni peringkat mental dan emosi serta organ vital – kepada bahagian luaran seperti kulit dan seumpamanya. Apabila gejala-gejala psikologi individu berkurangan dan gejala fizikal bertambah (tapi tidak teruk), kita katakan proses penyembuhan sedang berjalan. Evolusi ke arah bertambah sihat yang sedemikian harus dibiarkan berlalu dengan sendiri dan tidak wajar ditekankan (suppressed) melalui rawatan moden seperti penggunaan ubat sapu.

Daripada Atas ke Bawah
Jelas maksudnya di sini iaitu kesembuhan berlaku di mana semboyan-semboyan bergerak daripada bahagian atas ke bahagian bawah tubuh atau daripada kepala ke bahagian kaki. Kalau di ambil contoh kes gatal-gatal sakit kulit (bisul/kudis), semboyannya akan bergerak daripada muka ke bahagian dada, kemudian perut, pangkal paha, kaki dan seterusnya berakhir dengan kesembuhan.

Daripada Arah Penyakit Datang

Kadang-kadang berlaku kesembuhan dalam proses rawatan di mana gejala-gejala muncul dan tenggelam mengikut arah yang berlawanan daripada arah mula timbulnya. Hal ini boleh terjadi sekiranya gejala-gejala lama tersebut pernah ditekan atau disembuhkan dengan tidak sempurna. Lantas arah kesembuhan akan mengikut proses semulajadinya di mana ia balik ke asalnya (dari mana ia datang).

UNDANG-UNDANG HERING

Penyakit akan sembuh dari dalam ke luar, dari atas ke bawah, dari organ yang mustahak ke organ yang kurang mustahak, penyakit yang datang paling akhir akan sembuh dahulu dan seterusnya.



Sebagai lanjutan daripada prinsip kesembuhan di atas, di mana gejala-gejalanya dikatakan bergerak daripada bahagian paling dalam atau fungsi-fungsi organ yang lebih vital ke bahagian-bahagian lain, maka seorang pengamal homeopati yang terkenal pada zaman ini iaitu George Vithoulkas, telah menggariskan pelbagai peringkat kedalaman gejala dalam arah menurun.
Hirarki yang dipaparkan oleh Vithoulkas juga mempunyai tiga peringkat, iaitu:

1.Mental/Spiritual
2.Emosi/Jiwa
3.Fizikal




Ketiga-tiga tingkatan hirarki tersebut pula tidak terpisah, malah sentiasa berinteraksi. Tingkatan mental dianggap yang terpenting dan menjadi pusat, sementara tingkatan fizikal adalah yang paling kurang signifikan.

BAHAN PENAWAR

Penyakit akan sembuh dari dalam ke luar, dari atas ke bawah, dari organ yang mustahak ke organ yang kurang mustahak, penyakit yang datang paling akhir akan sembuh dahulu dan seterusnya.

Penawar homeopati dihasilkan daripada bahan-bahan berasaskan semulajadi tanpa menyebabkan kerosakan kepada persekitaran. Jumlah bahan yang diperlukan untuk membuat penawar adalah sangat sedikit dan sumber bahan-bahan ini mudah diperolehi dan didapati daripada Tumbuhan, Haiwan, Mineral Galian, Nosode, Sarcode dan Persekitaran.

Tumbuhan
Penawar-penawar dari kumpulan ini diambil dari daun, batang, kulit dan akar tumbuhan diproses
untuk dijadikan penawar homeopati. Contohnya ialah Ipecacuanha (biji buah jarak), Allium Cepa (bawang merah), Allium Sativum (bawang putih) dan lain-lain.

Haiwan
Penawar-penawar dari jenis ini kebiasaannya diambil daripada bisa, racun, sengatan dan enzim bagi haiwan yang tertentu. Dos yang digunakan biasanya pada potensi yang tinggi seperti 100c ke atas dan tidak mengulang dos dengan kerap dalam jangka masa yang singkat. Contohnya ialah Apis Melificia (bisa lebah), Vespa Crabro (bisa tebuan), Lachesis (bisa ular surukuku) dan lain-lain.


Mineral Galian
Penawar yang didapati dari logam mineral bumi, sebatian kimia yang terhasil dan digunakan sebagai penawar setelah dipotentaiskan (melalui proses homeopati). Penawar jenis ini mempunyai tindakan untuk jangka masa yang agak lama, contohnya Silicea, Petrolinum, Phosphorus, Kalium Phos dan lain-lain..
Juga Boleh Rujuk: Biochemic Tissue Salt

Nosode
Nosode adalah penawar yang dihasilkan daripada satu tisu atau rembesan penyakit pada haiwan atau tumbuhan. Setelah diproses (potentaiskan), penawar jenis ini biasanya digunakan pada potensi tinggi seperti 200X ke atas. Contoh penawar ialah Psorinum (Kudis buta/Scabies), Influzinum (Selsema), Bacilinum (TB) dan lain-lain

Sarcode
Sarcode ialah organ atau rembesan dari haiwan yang sihat. Contoh penawar ini ialah Adrenalin (hormon di ginjal), Insulin, Thyrodin, Pancreatinum dan lain-lain.

Persekitaran
Faktor alam persekitaran boleh juga menyebabkan timbulnya simptom atau gejala penyakit kepada seseorang, seperti cahaya bulan, pasang surut air laut, kutub utara-selatan, cahaya X-Ray, medan magnet boleh diproses secara homeopati (potentaiskan) menjadi penawar homeopati.



Penawar homeopati diperoleh daripada alam semula jadi seperti galian dan logam, daripada tumbuhan dan haiwan dan kini diperolehi dari sumber sinaran/pancaran. Penawar-penawar baru dibentuk melalui proses kimia menggunakan eksperimen (dipanggil ‘pembuktian’ atau ‘proving’) ke atas manusia secara sukarela. Penawar-penawar dibuat melalui proses larutan berulang (repetitive dilution) dan proses goncangan yang dipanggil ‘mempotensi’ (potentisation). Hasil terakhir biasanya dalam bentuk globiul ‘gula susu’ atau cecair dilution. Satu atau dua globiul diletakkan di bawah lidah pada satu-satu masa dikira sebagai dos.

Oleh kerana pembuatan penawar homeopati berteknologi rendah, maka ia tidak memerlukan penglibatan syarikat-syarikat besar. Ini kerana sesiapa yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran yang betul serta bertanggungjawab mampu menghasilkan penawar. Selain itu, keberkesanan penawar homeopati terbukti selamat dan tiada kesan sampingan, maka ia tidak memerlukan percubaan yang mahal. Namun demikian, sebarang usaha untuk memajukan bidang ini terutamanya oleh kilang-kilang besar di negara-negara yang maju tidak akan menjejaskan keberkesanan ubat homeopati selagi ia menggunakan konsep dan prinsip yang sama. Jika tidak mengekalkan konsep dan prinsipnya, maka ia bukan lagi dikenali sebagai penawar homeopati.